SALAM 1 MALAYSIA
Assalamualaikum...


ASAL USUL PARIT BUGIS
Kampung Parit Bugis terletak dalam Mukim Sungai Balang, Daerah Muar. Parit Bugis adalah salah satu kampung rangkaian yang mempunyai 12 kampung kecil iaitu Parit Masjid, Parit Gantung, Kampung Melayu, Parit Begelen, Simpang Sekolah, Parit Bugis, Parit Nombor 1, Parit Nombor 2, Parit Nombor 3, Parit Nombor 4, Parit Nombor 5 dan Sungai Balang Kecil.
Mengikut sejarahnya, Parit Bugis telah diteroka pada tahun 1904 oleh orang-orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Saribut dan Daeng Abu Bakar dari kepulauan Riau, Indonesia. Pada mulanya, orang-orang Bugis ini telah membuka kawasan hutan di sini dan mengusahakan tanaman getah. Memandangkan tanaman getah tidak sesuai dengan keadaan tanah gambut di sini pada ketika itu, maka setelah tempoh lima tahun orang-orang Bugis tersebut telah meninggalkan kampung ini dan kerja-kerja membuka hutan di sini diambil alih oleh orang-orang Jawa yang berasal dari Kabupaten Ponorogo, Pulau Jawa, Indonesia untuk mengusahakan tanaman kelapa pula.
Masyarakat Jawa tersebut kekal mendiami kampung ini sehinggalah sekarang yang mana penduduk kampung ini adalah generasi ketiga atau keempat keturunan mereka dan melalui perkahwinan, hampir kesemuanya saling bersaudara. Peneroka awal ini juga turut mengembangkan kawasan ini lalu membentuk beberapa buah kampung lagi. Ketua Kampung yang pertama dikenali sebagai Wak Bawok manakala Penghulunya pula bernama Abu Hassan.