ASSALAMUALAIKUM...
EMBAH JID MAHU MEMBERIKAN NAFAS BARU DI DALAM IRAMA MALAYSIA PADA ERA 2020 
LAGU IRAMA MALAYSIA / ETNIK KREATIF SEMAKIN KETANDUSAN

Lagu-lagu irama Malaysia ni memang mama suka mendengarnya lebih-lebih lagi kalau Dato Siti Nurhaliza yang menyanyikannya pasti terpaku mendengar alunan muzik dan lunak suaranya,pasti lagu yang dinyanyikan itu terus menjadi top dan popular...Bagi pencipta lagu sekarang ini,memang perlu lebih banyak lagi mencipta lagu-lagu irama Malaysia ini, agar ianya tidak mudah dilupakan terus...

Tetapi zaman semakin berlalu dan sekarang ni sudah banyak genre lagu yang ada di pasaran,anak-anak muda zaman sekarang ini lebih suka dengan lagu yang bergenre pop,balada,blues,rapper dan sekarang ni muzik K-Pop pula yang jadi kegilaan mereka..Inilah yang amat membimbangkan jika dibiarkan lagu-lagu berirama Malaysia ini, ianya akan terus dilupakan..Oleh itu kita perlu menerapkan nilai-nilai minat pada anak-anak agar meminati lagu berirama Malaysia,supaya ianya tidak mudah dilupakan dan lenyap begitu saja tanpa penyambung legasi..Siapakah yang perlu disalahkan nanti jika tiada pengganti?

SIAPA EMBAH JID DAN KENAPA BELIAU MUNCUL DALAM SENI MUZIK??

Encik Majid bin Rawino merupakan anak jati Muar yang berumur 50 tahun. Menetap di Kampung Baharu Melayu Batu 28, Lenga Muar Johor. Sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Meminati seni tarian sejak berusia 13 tahun sehingga sekarang. Panggilan mesra "TOK JID" oleh orang kampung dan dalam seni muzik beliau digelar "EMBAH JID".
KENAPA EMBAH JID???

** Bagi orang berketurunan jawa merujuk kepada nenek/datuk.
Nenek = Embah wedok
Datuk = Embah lanang.

**Ada juga sumber mengatakan embah = Emak + Abah

Maka Tok Jid yang memang berketurunan jawa mahu nama komersialnya dikenali sebagai EMBAH JID iaitu "EMBAH" (TOK) "JID" (ORANG BARU) yang memberi makna kepada diri beliau melalui pepatah melayu "Tiada yang lama, maka tiadalah yang baru" .
PROFIL EMBAH JID :-

- YDP Sek. Keb. Batu 28, Lenga -
- Pengerusi Muwahfakat Zon Lenga -
- Penerus Zapin Lenga dan Ceracap Inai -
- Ketua Kampung Baharu Batu 28, Lenga -
- Pensyarah Jemputan Fakulti Tari ASWARA, KL -
- Pengerusi Masjid Kampung Baharu Batu 28, Lenga -
- Tokoh Seni Budaya oleh Jabatan Kebudayaan Negara 2014 -
Wahhh.. Bila tengok profil Embah Jid ini,mama berasa kagum dan bangga dengan segala pencapaian dan semangat beliau yang masih aktif di dalam meneruskan legasi seni tarian seperti zapin dan joget. Maka disebabkan minat yang terlalu mendalam dan ingin menarik lebih ramai lagi belia muda untuk bersama-sama menaikkan semula seni melayu, Embah Jid bakal mengeluarkan single pertama lagu "Joget Kuasa Cinta". Memang terbaiklah.

LAGU "JOGET KUASA CINTA" TARUHAN EMBAH JID DALAM IRAMA MALAYSIA

Lagu ciptaan BROJAM ini merujuk kepada "bercinta dalam tarian" dimana satu pasangan yang mula jatuh cinta semasa menari. Umpama cinta di hati dan cinta pada tarian itu berjalan seiring. Beliau pertaruhkan lagu berunsurkan JOGET kerana orang seni pasti akan peka pada gerakan dan kesopanan yang perlu ada.

Menurut Embah Jid lagi, tarian mempunyai tatasusila dan kesopanan tertentu. Contohnya, Zapin Lenga mempunyai unsur islamik. Tertib kiraan bermula dengan 2 (1 tidak disebut merujuk kepada Tuhan yang Satu), 3, 4 dan 6, 7, 8. (5 tidak disebut merujuk kepada Rukun Islam) dan Zapin Lenga berbeza daripada zapin lain. kerana pergerakan pusing melawan arah pusingan jam seperi tawaf mengelilingi Kaabah.

Seronok bila kita dapat menimba ilmu dari orang yang berpengalaman. Semoga lagu joget ini bakal memberikan sinar baru kepada Embah Jid dan juga kepada semua orang supaya menghargai bakat seni dan seni tarian irama Malaysia.