18 November 2014

# info sejarah

Wajah Kebanggaan Orang Muar 1

SALAM 1 MALAYSIA
Assalamualaikum...


WAJAH KEBANGGAAN MUAR
Jaafar Onn Awang atau lebih dikenali dengan nama Jaafar Onn merupakan seorang artis yang dikenali ramai. Beliau berasal dari Muar, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Abdullah Sungai Mati, Muar. Dan kemudiannya meneruskan pengajian di Sekolah Lanjutan St. Andrew Jalan Saleh Muar.
Merupakan anak ketiga dari tiga orang adik beradik. Anak bongsu yang manja ini begitu rapat dengan ibunya Puan Basahriah Sidin. Sering mengikuti ibunya ke majlis perkahwinan atau gotong royong kenduri kendara. Dan dari sinilah membuatkan Jaafar Onn minat memasak dan menghias pelamin begitu juga dengan gubahan bunga.
Menjejakkan kaki ke bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 70-an bila beliau menyertai sebuah kumpulan tarian yang begitu terkenal di kaca TV pada masa itu. Dalam waktu yang sama, dengan bakat memasak dan mengandam yang ada juga, Jaafar Onn mengajar kaum ibu PERKEP di Jalan Pekeliling. Resepi Mi Bandung yang diajarnya telah membuka ruang luas untuk dia terus aktif menjadi tenaga pengajar selepas itu.
Dalam tahun 1973, Jaafar Onn dipelawa oleh pihak RTM untuk menyertai rancangan masakan yang diberi nama 'Dunia Wanita' yang dihoskan Datin Paduka Zaleha Ismail. Bermula dari situlah nama Jaafar Onn dikenali ramai sebagai tukang masak. Oleh kerana bakat yang begitu mendalam dalam bidang masakan, Jaafar Onn tidak pernah jemu menyertai kursus pendek yang disediakan syarikat swasta. Jaafar menyertai kursus membuat biskut, cara menghias kek dan puding. Tidak lupa juga menyertai kursus masakan barat dan timur. Juga pernah menyertai kursus membuat kuih nyonya dan masakan India.
Melangkah ke tahun 80-an, Jaafar Onn banyak menjadi tetamu undangan untuk memasak di dalam majalah dan tidak ketinggalan membuat demo masakan di kompleks membeli belah. Tetapi selepas itu, barulah diketahui bakat seni Jaafar Onn bukan sahaja sebagai tukang masak tetapi juga sebagai penyanyi dan juga pelakon. Datin Rosnani Jamil telah membawanya kedunia lakonan dalam telefilem pertama lakonannya yang berjudul Lagenda Lela Manja. Bermula dari situ, Jaafar Onn terus diundang membintangi banyak drama dan filem.
Jaafar Onn yang berbintang Libra ini juga suka kepada dunia tarian dan mempunyai kumpulan tarian sendiri. Maya Studio banyak membuat persembahan di majlis makan malam dan rancangan televisyen sekitar 80-an ke 90-an. Ramai juga artis kita yang dicungkil bakatnya dari Maya Studio seperti Liza Abdullah, Norida Ahmad, Erma Fatima, Ziela Jalil dan Radhi Khalid.
10 tahun kemudian, dia terus beralih arah ke bidang nyanyian yang dibantu oleh penyanyi Salwa Abd. Rahman, Rohana Jalil, Azie, Lina Kamsan dan beberapa orang teman artis lainnya. Jaafar Onn juga pernah membuat album dan tidak dinafikan beliau mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Siapa sangka sejak kebelakangan ini, bakat memasak, menari, berlakon dan menyanyi dapat dirangkumnya sekali dengan membuat persembahan dimana-mana pertunjukan pentas. Tidak dinafikan, Jaafar Onn juga laku di hotel-hotel untuk menghiburkan para tetamu yang datang. Apapun yang dikecapinya kini,Jaafar Onn tetap percaya yang dorongan dari anak dan keluarga membuatkan dia dikenali hingga ke hari ini.


3 comments:

  1. lama tak dengar cerita jaafar onn ni...

    ReplyDelete
  2. Orang Muar rupanya Jaafar Onn ni ya..
    Kita duduk Muo tapi bukan orang Muo..

    ReplyDelete