SALAM 1 MALAYSIA
Assalamualaikum..


ASAL USUL PARIT JAWA
Pada asalnya dahulu nama Parit Jawa adalah ‘Padang’. Ia merupakan sebuah jajahan di dalam negeri Johor. Nama ‘Parit Jawa’ itu dikatakan berasal dari parit yang digali oleh orang-orang Jawa yang berasal dari Kepulauan Jawa, Indonesia. Pada mulanya, Parit Jawa terletak di tepi Pantai Leka tetapi ia telah dipindahkan kira-kira setengah kilometer dari pantai pada tahun 1916 kerana kawasan asal tersebut sering dilanda ombak laut Selat Melaka.

Kewujudan Parit Jawa ada dinyatakan di dalam “Hikayat Pelayaran Munsyi Abdullah” oleh Muhammad Ibrahim Munsyi semasa kedatangan beliau pada 6 April 1871 tetapi ketika itu Parit Jawa dikatakan dikenali sebagai ‘Kampung Baru’. ’Kampung Baru’ dibuka di antara 1860 hingga 1870 oleh Haji Jabbar Madjati dengan pengikut beliau yang seramai 40 orang iaitu kebanyakannya lelaki dan beberapa orang pahlawan.

Kumpulan tersebut yang belayar di Selat Melaka tertarik dengan pantai Parit Jawa yang cantik dan mempunyai pokok-pokok yang menarik. Haji Jabbar dan beberapa orangnya berusaha membangunkan dan membuka penempatan di Parit Jawa. Hasil usaha Haji Jabbar dan rakan-rakan, Parit Jawa atau ketika itu ‘Kampung Baru’ menjadi terkenal dan menarik, bukan sahaja penduduk Parit Jawa tetapi juga penduduk dari Tanah Besar China. Penduduk China yang berhijrah ke Parit Jawa menjadi nelayan dan pelombong bijih.

Sumber asli di Parit Jawa pada tahun 1871 adalah bijih timah dan ketika itu pelombong memperolehi 194 pikul bijih timah.Cukai bijih timah 10 peratus telah dikutip oleh wakil Sultan Johor iaitu Ungku Abdul Rahman dan dilabel sebagai ‘Timah Padang Johor’. Di kawasan pesisir pantai, orang-orang Hokkien Cina menjadi nelayan dan peniaga. Mereka menjual ikan kepada perladang dan pelombong. Mereka juga membuat ‘ikan kering’ dan menjualnya ke Melaka dan Singapura.