15 November 2014

# info sejarah

Asal Usul Nama SUNGAI ABONG Di MUAR

SALAM 1 MALAYSIA
Assalamualaikum...


ASAL USUL SUNGAI ABONG

Sungai Abong telah diteroka oleh Haji Abdullah Taiko pada tahun 1885. Nama sebenar beliau ialah Panglima Haji Muhamad Salleh yang telah membawa diri dari Istana Sri Menanti,Negeri Sembilan kerana berkecil hati terhadap perlakuan keluarga Tuanku Yam Tuan Antah yang meragui kesetiaan dan pengabdiannya sebagai panglima daripada keturunan Jawa. Beliau telah merantau ke Hulu Muar untuk mencari sanak saudaranya.

Panglima Muhamad Salleh kemudian ke Muar dengan para pengikutnya apabila mendengar sebuah Kampung Jawa yang begitu makmur telah dibuka oleh seorang saudagar Jawa. Saudagar Jawa itu ialah kerabat di Raja Cerebon. Mereka terkenal sebagai saudagar Raja Cerebon yang mendapat kebenaran khas dan bebas berdagang di seluruh Nusantara dari Belanda. Mereka telah membuka Kampung Jawa dari muara Sungai Bentayan ke hulunya atas perintah Orang Kaya Muar pada tahun 1869.

Panglima Muhamad Salleh dan pengikut-pengikutnya telah diundang oleh Haji Muhamad Noh untuk tinggal di Kampung Jawa dan membuka kebun. Ketika itu, Haji Muhamad Noh juga sedang sibuk mengumpul orang-orang Jawa untuk membantu bapa mertua beliau iaitu Engku Muda Mansor, adinda Sultan Ahmad Pahang untuk memberontak dalam perbalahan kerabat istana.

Naib Penghulu Kampung Jawa, Haji Muhamad Noh telah menyuruh Panglima Salleh tinggal dekat dengan beliau dan membuka penempatan dari Batu 2 ke utara bersempadan dengan sebuah anak Sungai Muar. Anak sungai ini telah diberi nama Sungai Abong bersempena nama hasil dan kemahiran anak-anak buah dan pengikut Panglima Mohd Salleh yang mahir membuat gula abong di pohon-pohon nipah yang banyak terdapat di situ.

Sungai Abong juga dipercayai mendapat namanya kerana banyak pokok nibong yang terdapat di situ. Batang-batang pokok nibong telah diperdagangkan oleh anak buah Haji Muhamad Salleh kepada pembeli untuk dibuat rumah,jeti atau jambatan dan perangkap ikan.

Gula abong dan batang nibong yang dihasilkan oleh anak-anak buah Panglima Mohamad Salleh dijual kepada Haji Mohamad Noh selaku orang tengah yang terkenal sebagai seorang peniaga Jawa. Disamping sebagai Naib Penghulu,beliau juga adalah saudagar sagu, hasil kebun dan hutan serta pedagang barangan kemas Jawa di Pekan Muar.

Daripada penjualan batang nibong dan gula abong, nama kampung yang diterokai oleh Haji Mohamad Salleh dikenali sebagai Kampung Sungai Abong.

2 comments: