SIARAN AKHBAR
Untuk siaran segera


PROGRAM JALINAN SYAWAL KONGSI KEGEMBIRAAN
Themed Attractions Resorts & Hotels beri peluang kanak-kanak kurang berkemampuan berhibur di taman tema SANRIO HELLO KITTY TOWN dan Thomas Town

Puteri Harbour, 8 Julai 2017 –Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd (“TAR&H”) terus melaksanakan tanggungjawab korporat dengan meraikan lebih 200 kanak-kanak dan keluarga kurang berkemampuan  di Program Jalinan Syawal yang diadakan di perkarangan Puteri Harbour Retail Precint, hari ini.

Pada majlis hari ini, mereka yang dijemput hadir adalah dari Pertubuhan Kebajikan Shafar, Iskandar Puteri, kanak-kanak dari Tadika Kemas, Iskandar Puteri serta beberapa  keluarga terpilih  dari daerah Pasir Gudang.

Program tahunan yang diadakan ini memberi peluang kepada para jemputan untuk meluangkan masa di taman tema tertutup SANRIO HELLO KITTY TOWN dan Thomas Town bersama-sama karektor-karektor taman tema seperti Hello Kitty, Bob the builder, Barney,  Angelina Ballerina dan banyak lagi karektor-karektor kegemaran kanak-kanak sebelum menjamu selera sambil dihiburkan dengan pelbagai hiburan istimewa sempena Hari Raya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema TAR&H, Philip Whittaker berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat meraikan tetamu-tetamu jemputan yang sudah menjadi amalan syarikat pada setiap tahun.
“Kami amat berbesar hati kerana dapat memberi peluang untuk merasai sendiri kepelbagaian dalam proses pembelajaran sepanjang hayat walaupun sedang berhibur di taman tema kami. Ini merupakan salah satu aspirasi syarikat dalam menjayakan aktiviti tanggungjawab korporat syarikat yang berteraskan pendidikan dan berhasrat untuk meneruskan amalan berkongsi kegembiraan yang sama rata kepada golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.”
Pada majlis yang sama, para tetamu jemputan turut menerima sumbangan sagu hati daripada pihak TAR&H. Turut hadir sama pada majlis tersebut adalah ADUN Nusajaya, YB Dr Haji Zaini bin Haji Abu Bakar bagi memeriahkan majlis dan tanda sokongan kepada para tetamu jemputan. 


MENGENAI THEMED ATTRACTIONS RESORTS & HOTELS SDN. BHD.

Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat pelaburan yang ditubuhkan untuk membangun, mengurus dan mengendalikan operasi bagi industri hospitaliti dan destinasi pelancongan. Ditubuhkan oleh cabang pemegang pelaburan kerajaan strategik, Khazanah Nasional Berhad, TAR&H berfungsi sebagai pemangkin dalam industri pelancongan dengan penubuhan hotel bertaraf dunia, pusat peranginan, golf serta tarikan pelancongan di rantau ini.

Di antara portfolio utamanya terdiri daripada Desaru Coast – destinasi resort premium bersepadu, LEGOLAND® Malaysia Resort – LEGOLAND keenam di dunia dan yang pertama di Asia, KidZania Kuala Lumpur & KidZania Singapore – pusat rekreasi berkonsepkan edutainment, Puteri Harbour Retail Precinct – kompleks hiburan keluarga berkonsepkan gaya hidup berlatarbelakangkan tepian jeti, SANRIO HELLO KITTY TOWN – pertama seumpamanya yang dibina di luar negara Jepun, Thomas Town – taman tema dalaman yang menempatkan karakter terkenal Thomas & Friends® dalam pelbagai permainan siri tunggangan serta Hotel Jen Puteri Harbour yang terletak di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, bersama-sama dengan pemenang anugerah The Datai Langkawi dan Els Club yang pertama di Asia Tenggara – The Els Club Malaysia yang terletak di dua destinasi yang menakjubkan – The Els Club Teluk Datai dan The Els Club Desaru Coast.

Kerjasama di antara rakan kongsi serta jenama global yang terkenal memberikan TAR&H peluang untuk menjadi peneraju destinasi bertaraf dunia dengan membawa industri pelancongan sehingga ke Asia Tenggara, dengan mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan.