SALAM 1 MALAYSIA
Assalamualaikum...


WAJAH KEBANGGAAN MUAR
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dilahirkan pada 15 Mei 1947 di Muar. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani dan Sekolah Kebangsaan Ismail di Muar. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu (1971).
Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (1970) dan kemudiannya Penolong Pegawai Daerah Muar (1974). Pengalaman sebagai penjawat awam digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk berkecimpung dalam dunia korporat. Antara tahun 1974 hingga tahun 1978, Y.B. Tan Sri Dato' telah memegang beberapa jawatan penting di SGS Ates Sdn. Bhd. sebagai Pengurus Perjawatan, Pengarah Urusan Sri Saujana Berhad serta Pengarah Syarikat Equity Mal Sdn Bhd.
Y.B. Tan Sri Dato' kini mengetuai UMNO Bahagian Pagoh iaitu jawatan yang beliau pegang sejak April 1985 lagi. Sebelum itu beliau telah dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh pada tahun 1976. Dari situ karier politiknya terus berkembang apabila beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia (1982). Pada tahun 1985, buat pertama kalinya, Y.B. Tan Sri Dato' Muhyiddin dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Jawatan ini digunakan sepenuhnya untuk menabur bakti dan kemudiannya menjadi tokoh yang dipilih menduduki kerusi Naib Presiden bermula September 1993 sehinggalah ke hari ini.
Y.B. Tan Sri Dato' pertama kalinya dipilih menjadi wakil rakyat apabila beliau memenangi kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya tahun 1978. Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi parlimen berkenaan pada pilihan raya umum pada tahun 1982 telah dilantik menjadi Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-7 apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Serampang. Di bawah kepimpinan beliau, negeri Johor terus berkembang pesat dan menjadi antara negeri yang termaju di Malaysia.
Y.B. Tan Sri Dato' juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri pada tahun 1981, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 1982 dan Menteri Belia dan Sukan selepas Pilihan Raya Umum ke-9 iaitu pada Mei 1995. Empat tahun kemudian, beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mulai bulan Disember 1999. Pada bulan Januari 2004, beliau diberi kepercayaan mengetuai Kementerian Pertanian berikutan penstrukturan semula Kabinet Persekutuan.

sumber info fb