SALAM 1 MALAYSIA
Assalamualaikum...


SEJARAH BANGUNAN SULTAN ABU BAKAR
Bangunan Sultan Abu Bakar adalah mercu tanda daerah Muar yang terawal dan masih kekal sehingga hari ini. Ia dibina berasaskan ciri-ciri struktur pembinaan kolonial Inggeris pada zaman kegemilangan daerah Muar sebagai bandar pentadbiran dan perdagangan yang terpenting bagi kedua-dua kerajaan British dan juga Sultan Johor di sebelah wilayah utara negeri Johor. Bangunan ini menyerupai struktur dan unsur bangunan Istana Besar di Johor Bahru.
Pada asalnya bangunan ini dibina daripada struktur kayu di bawah pengawasan Dato’ Bentara Luar, Dato’ Mohd Salleh bin Perang. Bangunan kayu ini kekal selama 31 tahun sehinggalah pada tahun 1915, penasihat kerajaan British mengambil keputusan menggantikannya dengan bangunan baru dan menjadikannya sebagai Pejabat Daerah Muar. Pembinaan bangunan baru ini telah tergendala pada masa Perang Dunia Pertama sehinggalah tahun 1918 sebelum pembinaannya diteruskan. Bangunan baru ini siap sepenuhnya pada tahun 1929 telah menempatkan pejabat-pejabat pentadbiran Daerah Muar.
Semasa zaman penjajahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, bangunan ini telah dikuasai oleh tentera Jepun. Walaupun fungsinya sebagai pusat pentadbiran Muar dikekalkan,namun sistem pentadbirannya bercorak sistem pentadbiran Jepun. Selepas perang tamat,bangunan ini dan pentadbiran Daerah Muar diambil alih semula oleh pemerintahan British dan semenjak kemerdekaan Malaysia, bangunan pejabat ini dimiliki dan ditadbirkan oleh Kerajaan Negeri Johor.